HADITH 8

PERKARA YANG DIBENCI ALLAH
 
Sabda Rasulullah saw., "Hamba yang dibenci Allah ialah orang yang pakaiannya lebih baik dari amalnya, bahawa ada pakaiannya pakaian nabi-nabi tetapi beramal dengan amal orang-orang yang durhaka.
Riwayat Dailamy dari Aisyah
Keterangannya :
Allah swt. sangat benci kepada orang yang berlagak alim, berpakaian seperti pakaian nabi-nabi (sederhana) kelihatan seperti orang yang zuhud, taqwa dan sebagainya, padahal sebenarnya amalannya orang-orang yang durhaka kepada Allah.
Kesimpulannya, orang-orang itu adalah orang munafik, lain di mulut, lain di hatinya. Lagak seperti orang-orang yang soleh tetapi hatinya buruk di antaranya suka memfitnah dan sebagainya.


HADITH 7

TENTANG AYAT YANG MULIA
 
Rasulullah saw telah bersabda, "Katakanlah, segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak ada bagiNya sekutu dalam kerajaanNya dan tidaklah Allah menjadi pemimpin orang yang aniaya dan besarkanlah Allah dengan segala kebesaranNya.
Riwayat Imam Ahmad
Keterangannya :
Semua ayat-ayat Allah adalah mulia dan suci dan di antara yang banyak itu yang menjadi inti sarinya, agar manusia memuji Allah. Barang siapa memuji dan memperhambakan diri kepada selain dari Allah, itu adalah dosa yang paling besar.


HADITH 6

MENCARI KETINGGIAN DI SISI ALLAH

Rasulullah saw telah bersabda, "Carilah olehmu ketinggian di sisi Allah, engkau santuni orang-orang yang bodoh atas engkau dan engkau beri orang-orang yang mencegah engkau".
Riwayat Ady dari Ibnu Umar
Keterangannya :
Kebanyakan orang mengejar ketinggian di sisi manusia, dengan jalan mengejar pangkat dan apabila dia sudah memperolehinya, senanglah hatinya, seolah-olah telah mendapat darjat yang tinggi, sehingga kehidupannya berubah dari masa yang sudah-sudah. Dia merasakan dirinya telah mulia dengan pangkatnya yang tinggi itu. Padahal darjat yang tinggi di sisi manusia itu belum tentu akan menjamin kebahagiaan hidupnya.
Berapa banyaknya orang yang berpangkat tinggi, akhirnya hidup menderita kerana hubungannya dengan Allah tidak ada. Tapi apabila mencari ketinggian di sisi Allah, itulah hidup yang bererti. Untuk mencari ketinggian di sisi Allah, maka laksanakanlah ajaran-ajaran Islam, di antaranya menyayangi orang-orang bodoh. Mereka harus diberi peringatan dan pelajaran-pelajaran dan sesekali janganlah dia ditipu dan dianiaya kerana kebodohannya itu.
Demikian pula hendaklah suka memberi pertolongan kepada sesiapa sahaja, terutama kepada orang-orang yang merintangi atau memusuhi kita. Ini kerana, jika kita berlaku baik kepadanya, lambat-laun dia pun akan malu sendiri dan tidak akan berbuat jahat lagi kepada kita.

HADITH 5

TANDA-TANDA MUNAFIK
Sabda Rasulullah saw, "Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga macam : apabila  berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi kepercayaan dia kianati".
Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah
Keterangan :
Orang munafik, orang yang bermuka dua, jika dia pergi kepada kaum muslimin, dia mengatakan dirinya Islam dan apabila dia bertemu dengan golongan lainnya, dia berserta golongan itu. Di dalam diri orang-orang munafik itu mempunyai sifat-sifat yang tidak baik dan tanda-tandanya bahawa seseorang itu munafik, maka sifat-sifat yang tersebut di atas selalu ada padanya.
Dari itu janganlah percaya kepada mereka itu. Kelak di kemudian hari orang-orang munafik itu akan ditempatkan oleh Allah swt dalam neraka yang paling bawah sekali. Ini janji Allah yang tersebut dalam Al Quran surah An Nisa ayat 45. 


HADITH 4

TENTANG LENYAPNYA AGAMA
 
Sabda Rasulullah saw;
"Lenyapnya agama kerana tiga perkara iaitu : 1. Orang alim yang durhaka, 2. Imam (pemimpin) yang zalim, 3. Mujtahid yang bodoh".
Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas
 
Keterangan :
Agama Islam akan lenyap di muka bumi ini kerana perbuatan orang-orang yang dinyatakan dalam hadith di atas. Orang alim disebut juga juga kiyai adalah ikutan ummat. Apabila dilihat seorang kiyai yang telah berani melanggar ajaran Islam seperti bermain judi, menipu, minum arak dan sebagainya, maka tentulah orang-orang awam akan mencontohi dan menirunya. Apabila hokum Islam sudah dilanggar tentulah Islam akan lenyap.
Demikian pula pemimpin yang menzalimi, yang suka memeras dan menganiaya rakyat, ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Apabila pemimpin tidak mengacuhkan ajaran Islam, tentulah pengikutnya akan demikian juga. Begitu juga mujtahid (orang yang rajin mengerjakan sesuatu), tapi ilmu pengetahuannya tiada, dia itu orang bodoh dan apabila dia mengerjakan sesuatu pekerjaan yang baik dan kerana bodohnya, maka pekerjaan yang dikerjakan itu tentulah tidak sempurna. Apabila ajaran Islam dikerjakan dengan main-main (tidak ikut peraturan yang betul), maka bukanlah pahala yang diperolehi tapi dosalah yang dapat.
Tiga golongan ini dapat menghancurkan agama Islam, kerana itu kita haruslah berwaspada supaya tiga golongan ini dapat kita hindari.


HADITH 3

TENTANG TERSIA-SIANYA ILMU
 
Sabda Rasulullah saw, "Lenyapnya ilmu kerana lupa dan tersia-sianya ilmu kerana yang membicarakannya itu bukan orang yang ahlinya".
 
Riwayat Ibnu Abi Syaibah
 
Keterangannya :
Sifat lupa membahayakan kepada ilmu pengetahuan kerana ilmu itu akan hilang lenyap dari dirinya kerana lupa. Oleh sebab itu ilmu yang ada pada diri kita, hendaklah diamalkan supaya jangan lupa dan catatlah baik-baik.
Ilmu itu akan tersia-sia (tidak berharga) apabila yang membicarakan dan mengerjakan itu bukan yang ahlinya, seumpama ilmu membaca Al Quran, kerana dia telah pandai membaca Al Quran, maka dibacanya, sedangkan dia seorang kafir, maka bacaannya itu tidak ada ertinya, kerana orang itu bukan ahlinya (orang yang tidak ahlinya).
 


HADITH 2

MEMILIH TEMAN YANG BAIK
 

Sabda Rasulullah, "Datangilah yang baik-baik dan jauhilah yang mungkar dan pandanglah apa yang mencengangkan telingamu bahawa berkata bagimu suatu kaum, apabila engkau berdiri dekat mereka, maka datangilah dia dan lihatlah apa yang engkau benci bahawa berkata bagimu suatu kaum, apabila engkau berdiri dekatnya maka jauhilah dia".
Riwayat Jamaah
 
Keterangan :
Tempat yang baik-baik datangilah, di sana engkau akan bertemu dengan orang yang baik-baik, sehingga engkau pergauli mereka itu dengan baik, tetapi perbuatan yang buruk-buruk yang engkau benci padanya, apabila engkau berada di dekat orang-orang yang mengerjakan perbuatan yang buruk-buruk itu, apabila dilarang tidak mahu berhenti maka tinggalkan mereka itu, jangan dekati lagi.

HADITH 1

KELEBIHAN RASULULLAH
 
Aku (Nabi) datang pada pintu syurga di hari kiamat, maka aku minta dibukakan pintu itu, maka berkata penjaganya, "Siapakah engkau ini ?". Maka aku berkata, "Muhammad". Maka berkata orang yang menjaga pintu, "Aku diperintahkan bahawa jangan membuka pintu syurga bagi seorang pun sebelum engkau".
Riwayat Ahmad dari Anas
 
Keterangannya :
Pintu syurga tidak akan dibukakan bagi seorang pun sebelum Nabi Muhammad saw dan di waktu Nabi  Muhammad telah datang ke pintu syurga, barulah pintu itu dibukakan oleh yang menjaganya (Malaikat Ridhwan). Demikianlah perintah Allah swt kepada penjaga syurga dan Nabi Muhammad adalah orang yang mula-mula memasukinya.