HADITH 14

GANJARAN MEMBACA SHALAWAT
 
Sabda Rasulullah saw., "Telah datang kepadaku utusan daripada Tuhanku 'Azza Wajalla maka dia berkata : Barangsiapa yang mengucapkan shalawat atas engkau daripada ummatmu akan shalawat, Allah swt telah menuliskan baginya sepuluh ganjaran (kebaikan) dan menghapuskan daripadanya sepuluh kejahatan dan mengangkatkan Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalasi Allah) yang seumpamanya."
Riwayat Ahmad daripada Abu Thalhah
Keterangannya :
Ummat Islam disuruh memperbanyakkan shalawat kepada Nabi Muhammad saw dan barangsiapa yang banyak membaca shalawat, maka pahalanya amat besar sekali. Pada tiap-tiap bacaan shalawat itu akan mendapat sepuluh kebaikan dan dihapuskan sepuluh kejahatan dan ditinggikan darjat sebanyak sepuluh darjat dan menolak atasnya akan yang seumpamanya, seperti dia terpelihara daripada bahaya dan sebagainya. Demikianlah ganjaran Allah kepada orang yang suka membaca shalawat.

HADITH 13

MENGASIHI ANAK YATIM

Sabda Rasulullah saw, "Apakah engkau menyukai supaya lunak hatimu dan engkau memperolehi keinginanmu, kalau begitu, kasihilah anak-anak yatim dan usaplah kepalanya dan beri makanlah dia daripada makananmu, nanti hatimu akan lunak dan akan engkau capai hajatmu."
Riwayat Thabrani daripada Abu Darda'
Keterangannya :
Orang yang suka berbuat baik kepada anak-anak yatim, dikasihinya, diusap kepalanya dengan maksud disantuni dan disayangi seperti anak sendiri dan diberi makan dan minum, pakaian dan sebagainya. Nanti hati orang yang sebegini akan menjadi lunak, tidak bersengketa dengan orang lain, mahu menerima nasihat dan sebagainya. Apa-apa yang dihajatinya, insyaAllah akan dikabulkan permintaannya. Demikianlah janji-janji Allah terhadap orang yang mengasihi anak-anak yatim.

HADITH 12

NASIHAT JIBRIL KEPADA RASULULLAH
 
Telah datang kepadaku (Nabi) akan malaikat Jibril dan dia berkata, "Wahai Muhammad! Hiduplah sesuka hatimu, maka bahawasanya engkau akan mati, dan cintailah apa yang engkau cintai maka sesungguhnya engkau akan bercerai dengan kecintaanmu itu, dan beramallah apa yang engkau kehendaki maka sesungguhnya engkau itu akan mendapat balasan dan ketahuilah bahawa semulia-mulia orang mu'min ialah orang yang bangun malam hari (bersembahyang tahajud) dan manusia yang terhormat ialah orang yang dapat memperkaya (menolong) daripada manusia".
Riwayat Baihaqi daripada Jabir
Keterangannya :
Nasihat malaikat Jibril ini bagus sekali untuk disampaikan oleh Rasulullah kepada ummatnya, agar berhati-hati dalam menjalani kehidupan.

HADITH 11

PERKARA YANG DIBENCI OLEH ALLAH
 
Sabda Rasulullah saw., "Sebenci-benci Allah kepada yang halal ialah penceraian."
Riwayat Abu Daud dalam sunannya.
Keterangannya :
Walaupun thalaq itu suatu perbuatan yang boleh dilakukan, tapi berhati-hatilah menjatuhkan thalaq, kerana Allah swt tidak menyukai orang yang bercerai (antara suami isteri). Perbuatan ini dibenci oleh Allah.

HADITH 10

ORANG YANG BERAKAL DAN YANG BODOH
 
Sabda Rasulullah saw. ,"Hai anak Adam! Ikutlah perintah Tuhanmu, nescaya engkau dinamakan orang yang berakal dan janganlah engkau menderhakai-Nya bilamana begitu nescaya engkau dinamakan orang yang bodoh."
Riwayat Abu Na'im daripada Abu Hurairah
Keterangannya :
Orang yang mahu menurut perintah Allah, dirinya akan selamat berbahagia dan itulah sifat orang yang berakal. Dengan akalnya, dia dapat berfikir bahawa Allah swt yang patut disembah dan ditaati kerana itulah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi dengan segala isinya.
Adapun orang yang menderhakai Allah, hidupnya akan mendapat laknat dan kesengsaraan. Akalnya tidak digunakan untuk berfikir sehingga menyembah dan berbakti kepada selain Allah dan menjadikan dia manusia yang sesat. Oleh sebab itulah, orang-orang sebegini dinamakan manusia yang bodoh.

HADITH 9

SUKA MENOLONG ORANG
 
Sabda Rasulullah saw. ,"Sampaikanlah hajat (keinginan) orang yang tidak mampu menyampaikan hajatnya, maka barangsiapa yang menyampaikan keinginan orang yang tidak berkuasa melaksanakannya, maka Allah menetapkan dua tumitnya meniti di titian shirathal mustaqim pada hari kiamat kelak."
Riwayat Thabrani dari Abu Darda'

 
Keterangannya :
Seseorang yang berkeinginan untuk melaksanakan satu pekerjaan suci, tapi dia tidak sanggup melaksanakannya, kerana masalah kewangan atau sebagainya, maka kita tolong orang itu sehingga cita-citanya tercapai, maka di kemudian hari kita akan mendapat pertolongan dari Allah dengan Allah menetapkan tumit kita untuk meniti di titian shirathalmustaqim. 

HADITH 8

PERKARA YANG DIBENCI ALLAH
 
Sabda Rasulullah saw., "Hamba yang dibenci Allah ialah orang yang pakaiannya lebih baik dari amalnya, bahawa ada pakaiannya pakaian nabi-nabi tetapi beramal dengan amal orang-orang yang durhaka.
Riwayat Dailamy dari Aisyah
Keterangannya :
Allah swt. sangat benci kepada orang yang berlagak alim, berpakaian seperti pakaian nabi-nabi (sederhana) kelihatan seperti orang yang zuhud, taqwa dan sebagainya, padahal sebenarnya amalannya orang-orang yang durhaka kepada Allah.
Kesimpulannya, orang-orang itu adalah orang munafik, lain di mulut, lain di hatinya. Lagak seperti orang-orang yang soleh tetapi hatinya buruk di antaranya suka memfitnah dan sebagainya.