HADITH 3

TENTANG TERSIA-SIANYA ILMU
 
Sabda Rasulullah saw, "Lenyapnya ilmu kerana lupa dan tersia-sianya ilmu kerana yang membicarakannya itu bukan orang yang ahlinya".
 
Riwayat Ibnu Abi Syaibah
 
Keterangannya :
Sifat lupa membahayakan kepada ilmu pengetahuan kerana ilmu itu akan hilang lenyap dari dirinya kerana lupa. Oleh sebab itu ilmu yang ada pada diri kita, hendaklah diamalkan supaya jangan lupa dan catatlah baik-baik.
Ilmu itu akan tersia-sia (tidak berharga) apabila yang membicarakan dan mengerjakan itu bukan yang ahlinya, seumpama ilmu membaca Al Quran, kerana dia telah pandai membaca Al Quran, maka dibacanya, sedangkan dia seorang kafir, maka bacaannya itu tidak ada ertinya, kerana orang itu bukan ahlinya (orang yang tidak ahlinya).
 


HADITH 2

MEMILIH TEMAN YANG BAIK
 

Sabda Rasulullah, "Datangilah yang baik-baik dan jauhilah yang mungkar dan pandanglah apa yang mencengangkan telingamu bahawa berkata bagimu suatu kaum, apabila engkau berdiri dekat mereka, maka datangilah dia dan lihatlah apa yang engkau benci bahawa berkata bagimu suatu kaum, apabila engkau berdiri dekatnya maka jauhilah dia".
Riwayat Jamaah
 
Keterangan :
Tempat yang baik-baik datangilah, di sana engkau akan bertemu dengan orang yang baik-baik, sehingga engkau pergauli mereka itu dengan baik, tetapi perbuatan yang buruk-buruk yang engkau benci padanya, apabila engkau berada di dekat orang-orang yang mengerjakan perbuatan yang buruk-buruk itu, apabila dilarang tidak mahu berhenti maka tinggalkan mereka itu, jangan dekati lagi.

HADITH 1

KELEBIHAN RASULULLAH
 
Aku (Nabi) datang pada pintu syurga di hari kiamat, maka aku minta dibukakan pintu itu, maka berkata penjaganya, "Siapakah engkau ini ?". Maka aku berkata, "Muhammad". Maka berkata orang yang menjaga pintu, "Aku diperintahkan bahawa jangan membuka pintu syurga bagi seorang pun sebelum engkau".
Riwayat Ahmad dari Anas
 
Keterangannya :
Pintu syurga tidak akan dibukakan bagi seorang pun sebelum Nabi Muhammad saw dan di waktu Nabi  Muhammad telah datang ke pintu syurga, barulah pintu itu dibukakan oleh yang menjaganya (Malaikat Ridhwan). Demikianlah perintah Allah swt kepada penjaga syurga dan Nabi Muhammad adalah orang yang mula-mula memasukinya.





SEMPURNAKAN WUDHUK


Wasilah Meningkatkan Darjat
Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya,”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat, ”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda, ”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat”.

(Muslim)

KEKAYAAN YANG MEMBINASAKAN

Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbangkankan terhadap kalian, tetapi yang aku bimbangkan adalah jika kekayaan dunia dilimpahkan kepada kalian sebagaimana telah dilimpahkan kepada orang-orang sebelum kalian, kemudian kalian akan berlumba-lumba mendapatkannya sebagaimana mereka berlumba-lumba dan akhirnya dunia itu membinasakan kalian sebagaimana ia telah membinasakan mereka. (Shahih Muslim)

JANGAN MENZALIMI HAIWAN

Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang dia ikat dan tidak diberikan makan bahkan tidak dibenarkan makan binatang-binatang kecil yang ada di lantai." (HR. Bukhari)

JANGAN SOKONG KEZALIMAN

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan”. (Surah Hud:113)